SHAH ALAM, 26 OGOS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pelajar yang dilaporkan terjatuh dari bangunan sebuah sekolah berasrama di Selangor hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelajar terbabit kini menerima rawatan di hospital manakala laporan polis turut dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
“Pada masa sama, KPM juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah.
“Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini,” katanya menerusi Facebook.
Beliau memaklumkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden sekolah berkenaan akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga siasatan selesai.
“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Sementara itu, EXCO Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, pelindung kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden pelajar berkenaan.
Katanya, bantuan awal termasuk khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan remaja terlibat turut akan diberikan bagi memastikan kebajikan serta sokongan emosi mereka terjamin.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di asrama.
Ketua Polis Selangor Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.