ad

Dua projek mitigasi banjir dilaksana di Taman Sri Muda

26 Ogos 2025, 6:03 AM
Dua projek mitigasi banjir dilaksana di Taman Sri Muda

SHAH ALAM: 26 Ogos: Terdapat dua projek mitigasi banjir sedang dilaksanakan di Taman Sri Muda, Shah Alam melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Klang dan Projek Selangor Maritime Gateway (SMG).

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan RTB Sungai Klang yang dikawal selia Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada mitigasi banjir di Taman Sri Muda dan kawasan sekitarnya.

"Skop utama projek ini merangkumi menaik taraf kolam takungan banjir Sri Muda, pembinaan lencongan Sungai Rasau, menaik taraf sistem saliran Taman Sri Muda, pembinaan pintu air, pembinaan ban, pengukuhan tebing serta lain-lain struktur," menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat.

Perkara itu dijelaskan susulan pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan perbezaan skop kerja dan 'interface' RTB Taman Sri Muda dengan projek SMG yang dilaksanakan dalam kawasan yang sama.

Dalam kenyataan sama, kementerian turut menyatakan RTB di kawasan tersebut memberi penekanan kepada infrastruktur teknikal untuk pengurusan banjir sahaja.

"Bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dan mengelakkan sebarang konflik reka bentuk atau kerja lapangan, penyelarasan teknikal secara berterusan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan dan pemegang taruh sentiasa dilaksanakan," jelas kementerian itu.

Sementara itu, SMG yang dilancarkan sejak 2018 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bagi membersih, memulihara dan membangunkan semula Sungai Klang.

Projek sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley, Kuala Lumpur hingga ke Pelabuhan Klang itu dilaksanakan di kawasan titik panas banjir dan merangkumi kerja pembersihan, pendalaman serta pelebaran sungai selain pembaikan tebing dan perlindungan cerun.

Pengarah Urusan LLSB Syaiful Azmen Nordin berkata projek berkenaan berjaya menambah kapasiti air Sungai Klang sebanyak 18 peratus membabitkan 3 kilometer jajaran aliran air dari muara sungai hingga sempadan Petaling Jaya-Kuala Lumpur.

"Jarak itu meliputi dua daripada empat blok projek pelebaran dan pengorekan dasar sungai di sempadan Shah Alam–Klang hingga Shah Alam–Puchong serta dari muara sungai ke Bandar Klang, masing-masing meliputi blok tiga dan blok satu," katanya ketika mengadakan lawatan Projek Mitigasi Banjir di Kota Kemuning, Shah Alam pada 16 Jun lalu.

Sehingga Ogos tahun lalu, projek SMG berjaya mengeluarkan lebih 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang, sekali gus menurunkan kadar kutipan sampah tahunan sebanyak 67 peratus kepada hanya 5,600 tan metrik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.