SHAH ALAM; 26 OGOS: Sebanyak RM15.30 bilion hasil cukai berjaya dikutip kerajaan daripada produk rokok dan rokok elektronik termasuk vape bagi tempoh 2021 hingga Julai 2025.
Kementerian Kewangan berkata daripada jumlah itu, RM288.45 juta adalah kutipan hasil cukai bagi peranti serta cecair atau gel bernikotin dan tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape.
"Jumlah kutipan hasil bagi rokok dalam tempoh yang sama adalah sebanyak RM15.02 bilion," menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat.
Perkara itu dijelaskan susulan pertanyaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kutipan cukai vape setiap tahun sejak ia diperkenalkan berbanding jumlah kutipan cukai rokok dalam tempoh sama.
Dalam kenyataan sama, kementerian turut memaklumkan produk rokok serta cecair atau gel bernikotin dan tidak bernikotin yang digunakan dalam vape dikategorikan sebagai 'demerit goods' dan tertakluk kepada pelbagai cukai termasuk duti eksais, cukai jualan serta duti import.
Bermula 1 Januari 2021, kerajaan mengenakan duti eksais 40 sen per mililiter bagi cecair atau gel tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik.
"Semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape dikenakan duti eksais pada kadaar 10 peratus ad valorem," jelas kementerian itu.
Kemudian, mulai 1 Mei 2023, skop duti eksais diperluas kepada cecair dan gel bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik serta vape dengan kadar yang sama iaitu 40 sen setiap mililiter.