JAKARTA, 26 OGOS: “Kami sudah buktikan!” demikian luahan penuh bangga Ketua Kontinjen Malaysia Sarkunan Balakrishnan, selepas pasukan negara menutup tirai Sukan SEA Pekak 2025 di sini dengan kutipan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Sarkunan berkata kejayaan luar biasa itu wajar diiringi dengan pengiktirafan daripada kerajaan menerusi insentif khas dan ganjaran kepada atlet, jurulatih serta pegawai yang mengharumkan nama negara.
“Kami sangat berharap Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan Malaysia serta pihak berkaitan dapat menyalurkan insentif dan ganjaran kepada atlet, jurulatih dan pegawai sebagai bonus atau saguhati, sekali gus menggalakkan pembangunan sukan orang pekak.
“Selain itu, saya juga berharap kerajaan negeri dapat membantu persatuan orang pekak di peringkat negeri masing-masing kerana setiap kali menyertai kejohanan memerlukan peruntukan besar. Sedikit sebanyak, bantuan kerajaan amat kami harapkan,” katanya kepada Bernama dan RTM.
Malaysia menutup temasya edisi kedua ini dengan penuh gemilang, jauh mengatasi sasaran awal 16 pingat emas.
Lebih manis, kejayaan itu juga melakar sejarah baharu berbanding kutipan 15 emas pada edisi sulung di Kuala Lumpur, 2022.
Pingat emas ke-25 hadir menerusi pemain boling wanita, Siw Sing Hie, yang unggul dalam acara Masters selepas mencatat 1,491 jatuhan pin. Secara keseluruhan, kontinjen negara yang dibarisi 80 atlet dan pegawai menyerlah dalam olahraga (10 emas), boling (8 emas), catur (5 emas) dan badminton (2 emas).
Sarkunan yang juga Naib Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menegaskan kejayaan ini membuktikan sokongan kerajaan sejak kebelakangan ini banyak membantu memperkukuh latihan jangka panjang dan program pembangunan atlet pekak negara.
Malaysia kini bersiap siaga untuk menggalas tanggungjawab lebih besar apabila diumumkan sebagai tuan rumah Sukan SEA Pekak 2027 di Pulau Pinang dengan enam acara baharu termasuk orienteering dan e-sukan dijangka dipertandingkan.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Pulau Pinang bagi memastikan penganjuran berjalan sistematik dan terbaik,” katanya.
Dengan pencapaian ini, Malaysia bukan sahaja terus mengukuhkan status sebagai kuasa besar sukan pekak serantau, malah memberi isyarat bahawa atlet pekak negara mampu berdiri sama tinggi dengan mana-mana kontinjen lain.
-- BERNAMA