SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebuah kereta dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Paip, Kampung Budiman, malam tadi.
Kejadian itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun mengalami kecederaan ringan manakala ibunya yang juga pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.43 malam.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi. Komander operasi melaporkan terdapat pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang bergerak.
“Terdapat dua mangsa iaitu ibu dan anak yang mana kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan ringan di kepala dan dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan.
“Kerja-kerja pemotongan dan pengalihan dahan kayu selesai dilakukan oleh anggota bomba di lokasi,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian lain, sebuah lori dihempap pokok tumbang di Batu 14, Jalan Kapar-Kuala Selangor, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.57 malam.
Pasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor ke lokasi, yang mendapati pokok tumbang sebesar lima pemeluk di jalan utama, menghempap sebuah lori.
"Pemandu lori berusia 35 tahun terhimpit dalam kenderaannya dan dikeluarkan anggota dalam keadaan selamat, hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan.
