SHAH ALAM, 25 OGOS: Pemberian baucar buku Kita Selangor yang sebelum ini diagih khusus untuk mahasiswa universiti kini diperluas kepada pelajar tingkatan enam.
Mengumumkan perkara itu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata agihan baucar bernilai RM200 itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu pelajar membeli buku rujukan.
"Kita akan kira balik berapa jumlah pelajar tingkatan enam di Selangor yang terima manfaat...data diberikan dalam masa terdekat. Mekanisme permohonan akan diumumkan pada akhir Oktober.

"Sebelum ini memang sasar mahasiswa, tetapi kita perluas kepada tingkatan enam kerana mereka juga bakal masuk universiti. Mereka layak diberi peluang untuk dapat persediaan lebih baik ke kampus,"katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan awal persekolahan (BAP) kepada pelajar tingkatan enam di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam hari ini.
Sebelum ini, Amirudin melancarkan pemberian e-baucar buku mahasiswa Kita Selangor yang memanfaatkan 1,000 mahasiswa dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.
Menerusinya, 1,000 mahasiswa anak Selangor yang menuntut di Insitutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menerima e-baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Mengulas lanjut, Amirudin turut memaklumkan pentadbirannya kini memperkenalkan insentif kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.
"Sebagai permulaan, tahun ini, seramai 15 pelajar cemerlang menerima RM1,000. Tahun hadapan kita akan pilih 15 hingga 20 pelajar terbaik.
"Kita memang ada peruntukan tetapi untuk tahun depan perlu lihat semula berapa dana diperlukan. Jumlah peruntukan akan dimasukkan dalam belanjawan akan datang," katanya.
