ad

Motosikal roda tiga perlu patuhi spesifikasi, dapat kelulusan JPJ

25 Ogos 2025, 5:13 AM
Motosikal roda tiga perlu patuhi spesifikasi, dapat kelulusan JPJ

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Penggunaan motosikal yang diubah suai untuk membawa barangan perlu mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan dan mendapat Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata kenderaan berkenaan juga perlu mendapatkan kelulusan dan kebenaran Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ bagi motosikal berdaftar yang telah dilakukan pengubahsuaian teknikal dan didaftarkan sebagai kenderaan barangan bagi tujuan kegunaan komersial.

“Kita tahu ada motosikal yang diubah suai, namun begitu mana-mana motosikal yang diubah suai dan tidak mematuhi syarat-syarat dan tidak mendapat kelulusan VTA… penggunaan itu tidak mengikut undang-undang, maka ia tidak ada insurans dan membayar cukai jalan dan sebagainya.

“Sudah tentu kalau berlaku apa-apa risiko ditanggung sendiri oleh pengguna itu. Jadi kita nak menasihatkan pengguna, para petani dan sebagainya supaya mendapatkan kelulusan agar mereka dilindungi dan menggunakan kenderaan itu mengikut undang-undang secara sah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai sejauh mana kementerian bersedia memberikan garis panduan terhadap motosikal roda tiga yang diubah suai dan digunakan di kawasan luar bandar untuk mengangkat barangan pertanian.

Loke berkata JPJ bersedia memberikan penerangan dan bantuan teknikal berhubung proses kelulusan VTA bagi model motosikal baharu yang ingin digunakan atau diubah suai.

“Motosikal roda tiga jenis side car (Kategori L4) antara contoh motosikal tiga roda barangan yang telah didaftarkan dan dilesenkan untuk kegunaan di negara ini. Motosikal jenis ini dibenarkan digunakan di atas jalan raya dan hanya boleh didaftarkan sebagai kenderaan barangan,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.