ad

Stor simpan wayar untuk kilang Perodua terbakar

25 Ogos 2025, 2:52 AM
Stor simpan wayar untuk kilang Perodua terbakar
Stor simpan wayar untuk kilang Perodua terbakar

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Sebuah kilang stor penyimpanan wayar harness untuk kilang Perodua di Jalan Ipoh, Batang Kali, dekat sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 4.45 pagi, sebelum jentera pertama daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi pada 5.07 pagi.

Beliau berkata operasi pemadaman turut membabitkan BBP Bukit Sentosa dan BBP Rawang dengan kekuatan 26 anggota.

Beliau berkata kebakaran melibatkan bangunan kelas A berstruktur besi berkeluasan 100x80 kaki persegi dan ketika anggota tiba, api sedang marak.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 5.45 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jentera digunakan terdiri dariada dua Fire Rescue Tender (FRT), satu Compact Fire Rescue Tender (CFRT), dua unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah Water Tanker serta sebuah pacuan empat roda jenis Triton milik Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Ahmad Mukhlis berkata kerja-kerja overhaul sedang dijalankan di lokasi bagi memastikan kebakaran benar-benar dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.