ad

Sukan SEA Pekak: Bantahan ditarik, emas kekal milik catur beregu campuran

24 Ogos 2025, 1:09 PM
Sukan SEA Pekak: Bantahan ditarik, emas kekal milik catur beregu campuran

JAKARTA, 24 OGOS: Suasana di gelanggang catur Sukan SEA Pekak 2025 di sebuah hotel di sini tegang seketika apabila kemenangan beregu campuran negara, Loo Pin Xie-Ainnur Asyikin Jupineh bagi acara mixed rapid dicabar kontinjen lawan.

Bagaimanapun bantahan itu akhirnya ditarik balik selepas pihak penganjur menerima bukti sahih daripada kontinjen Malaysia sekali gus mengesahkan emas kekal milik pasukan negara.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn berkata bantahan itu dibangkitkan kontinjen Indonesia dan Thailand yang mempertikaikan status kelayakan Ainnur Asyikin sebagai atlet pekak.

Namun katanya selepas dokumen pengesahan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Sukan Untuk Orang Pekak (ICSD) dan rekod ujian rasmi ditunjukkan, pihak lawan berpuas hati lalu menarik balik bantahan tersebut.

“Isu ini bukan sesuatu yang baharu kerana Ainnur Asyikin pernah berdepan bantahan sama di kejohanan Asia Pasifik tahun lalu memandangkan dia boleh berbicara sedikit dan keduanya dia boleh bahasa isyarat, tapi kurang mahir jadi timbul salah faham.

“Walaupun dia boleh bertutur sedikit, beliau tetap disahkan sebagai orang pekak oleh ICSD. Jadi, tiada masalah dari segi klasifikasi. Selepas bukti ditunjukkan, kontinjen lawan menerima dan menarik balik bantahan mereka,” katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.

Menurut Shin Ruenn, semua atlet Malaysia telah menjalani ujian di hospital kerajaan dan mendapat pengesahan rasmi daripada ICSD.

Beliau turut menegaskan penggunaan alat bantuan pendengaran dilarang sama sekali sepanjang pertandingan bagi menjamin kesaksamaan di gelanggang.

Shin Ruenn berkata pencapaian skuad negara ketika ini dengan 18 emas membuktikan atlet pekak negara mampu menyerlah di pentas antarabangsa sekiranya mendapat sokongan secukupnya.

“Peruntukan RM3 juta yang diberikan sebelum ini benar-benar dimanfaatkan untuk latihan sepenuh masa. Kami harap sangat kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menyalurkan bajet khusus bagi MSDeaf,” ujarnya.

Terdahulu, pasangan Pin Xie-Ainnur Asyikin menamatkan saingan mixed rapid dengan tiga kemenangan bersih ke atas Thailand, Indonesia dan satu lagi pasukan Indonesia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.