SHAH ALAM, 24 OGOS: Program anti buli yang bakal dijalankan Kerajaan Negeri bagi mengekang perbuatan itu akan bermula di sekolah berasrama sebelum diperluas ke lokasi lain.
Pegawai penyelas Penggerak Belia Selangor (PeBS) berkata program akan berjalan dalam masa terdekat bersekali kempen anti dadah yang digerakkan bersama Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam).
“Langkah pertama adalah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri. Kita akan kenal pasti sekolah mana dahulu. Sasaran kita sekolah berasrama, sama ada penuh atau harian.
“Pergaulan mereka sesama rakan lebih banyak kerana duduk di asrama berbanding pelajar sekolah harian. Kita mahu kekang budaya buli ini dalam kalangan mereka,” kata Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar.
Jumaat lalu, EXCO belia memaklumkan pentadbiran akan meluaskan kempen kesedaran menolak budaya buli bukan sahaja di sekolah, malah meliputi institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan juga komuniti setempat.
Menurut Najwan Halimi, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Sukan Negeri dan 250 ahli PeBS akan digerakkan turun ke sekolah-sekolah bagi menjalankan kempen berkenaan.