SUBANG JAYA, 24 OGOS: Cadangan Kerajaan Selangor melaksanakan larangan penuh tanpa beg plastik selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad di semua premis tahun depan disambut baik masyarakat.
Norashikin Omar, 48, berpandangan langkah pentadbiran negeri untuk menaikkan kadar caj pada 20 sen ketika ini juga wajar bagi menggalakkan lebih ramai pengguna membawa beg plastik sendiri.
“Bagi saya kedua-dua cadangan ini bagus, kita nak elakkan keadaan alam sekitar lebih teruk sebab bahan plastik susah nak hadam. Saya juga menyokong kempen Kerajaan Negeri sejak dari dahulu bawa beg plastik sendiri apabila ke kedai untuk membeli barangan dapur.
“Namun, dari tiga hari seeloknya buat larangan penuh terus sepanjang masa, untuk memastikan matlamat negeri sifar beg plastik berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Cabaran Joran Merdeka MBSJ di Taman Tasik Seri Aman, Puchong di sini.

Bagi pekerja swasta, Zaini Razak, 53, kenaikan kadar caj akan mendidik masyarakat untuk tidak membazir wang apabila terpaksa membuat bayaran bagi penggunaan beg plastik.
“Saya melihat cadangan bagus sebab dengan kenaikan caj 20 sen sekarang pengguna rasa mungkin membebankan, untuk berjimat mereka bawa sendiri.
“Larangan tiga hari juga amat wajar, pelupusan beg plastik ambil masa yang panjang boleh mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Semalam, EXCO alam sekitar berkata, Kerajaan Selangor akan memperkenalkan kadar caj baharu bagi beg plastik sekali guna dalam usaha menggalakkan penggunaan beg guna semula dengan lebih meluas.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, pentadbiran negeri juga bercadang melaksanakan hari tanpa beg plastik sekali guna dari Jumaat hingga Ahad di semua premis.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri kini berada dalam fasa akhir semakan semula undang-undang berkaitan penguatkuasaan, termasuk merangka pewartaan garis panduan baharu.