SUBANG JAYA, 24 OGOS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntuk RM100,000 bagi kerja penyelenggaraan prasarana di Taman Tasik Seri Aman, Puchong yang terjejas akibat banjir besar pada 2021.
Ahli Majlis Zon 12 MBSJ Fauzan Rosli berkata pembaikan melibatkan sistem perparitan, laluan pejalan kaki sepanjang 900 meter serta pagar dengan kos antara RM30,000 hingga RM40,000.

“Selain itu, peruntukan lebih RM50,000 telah dimohon kepada Datuk Bandar Subang Jaya Dato' Amirul Azizan Abd Rahim untuk memasang bumbung.
“Kita mahu tasik ini menjadi produk pelancongan dan tarikan baharu pengunjung melalui kerja naik taraf ini selain menjaga kebersihan. Penarafan di Google Review juga telah mencapai skor lima bintang,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui pada Cabaran Joran Merdeka MBSJ yang disertai lebih 700 kaki pancing sempena ulang tahun kelima pihak berkuasa tempatan itu dan bulan Kemerdekaan di taman berkenaan, hari ini.

Menurut Fauzan, kerja naik taraf antara lain juga bertujuan meningkatkan keselamatan kanak-kanak yang berkunjung selain mewujudkan ruang kondusif buat kaki pancing.
“Selepas naik taraf tasik akan menjadi lebih cantik, kita akan mengajur lebih banyak program kemasyarakatan dan jana ekonomi peniaga kedai makan yang beroperasi di sekitar kawasan,” katanya lagi.
