ad

Perpustakaan Selangor, Kazakhstan teroka kerjasama digital, budaya, perkukuh hubungan dua hala

24 Ogos 2025, 5:40 AM
Perpustakaan Selangor, Kazakhstan teroka kerjasama digital, budaya, perkukuh hubungan dua hala
Perpustakaan Selangor, Kazakhstan teroka kerjasama digital, budaya, perkukuh hubungan dua hala
Perpustakaan Selangor, Kazakhstan teroka kerjasama digital, budaya, perkukuh hubungan dua hala
Perpustakaan Selangor, Kazakhstan teroka kerjasama digital, budaya, perkukuh hubungan dua hala

SHAH ALAM, 24 OGOS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Perpustakaan Negara Republik Kazakhstan menandatangani surat kerjasama dan persefahaman (MoU) di Almaty, hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama pintar itu membuka ruang bagi perkongsian idea, ilmu dan pengalaman terutama dalam bidang literasi digital, pengurusan sumber maklumat, pembangunan kapasiti komuniti perpustakaan dan pertukaran koleksi bahan rujukan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, Kedutaan Kazakhstan di Malaysia turut memainkan peranan penting bagi merealisasi program silang budaya, pendidikan serta usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang perpustakaan.

“Dalam sesi ini, Selangor turut berkongsi usaha kami di bawah Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) yang giat menterjemah karya agung sarjana Islam seperti tulisan Imam Al-Ghazali dan Muhammad karya Martin Lings.

“Kita juga sedang mempertimbangkan tokoh besar kelahiran Kazakhstan, Al-Farabi, untuk terjemahan seterusnya.

“Di samping itu, PPAS juga memberi tumpuan kepada pembangunan literasi awal melalui penganjuran Pesta Buku Kanak-kanak sebagai platform menggalakkan budaya membaca sejak usia kecil,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Amirudin mengadakan lawatan kerja di Almaty dengan satu pertemuan bersama pihak pengurusan Perpustakaan Negara Republik Kazakhstan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Arkib, Dokumentasi dan Urusan Buku Kementerian Kebudayaan dan Maklumat Republik Kazakhstan, Rustam Ali.

Berkongsi pengalaman lawatan di perpustakaan di sana, Amirudin mengakui terpesona melihat koleksi unik termasuk sebuah mushaf Al-Quran bersaiz ibu jari, simbol betapa luas dan beragamnya khazanah ilmu yang tersimpan di situ.

“Sebagai salah satu pusat ilmu tertua di bandar ini, Perpustakaan Negara Republik Kazakhstan bukan sahaja menjadi gedung ilmu tetapi juga pusat komuniti, pemeliharaan warisan, dan hab literasi digital.

“Dengan jalinan kerjasama ini, kita bukan sahaja menyimpan khazanah ilmu, tetapi bersama menyebarkannya ke seluruh dunia,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.