ad

Manis, rangup: MeloSel buah premium Selangor tarik permintaan tinggi

24 Ogos 2025, 2:15 AM
Manis, rangup: MeloSel buah premium Selangor tarik permintaan tinggi
Manis, rangup: MeloSel buah premium Selangor tarik permintaan tinggi
Manis, rangup: MeloSel buah premium Selangor tarik permintaan tinggi
Manis, rangup: MeloSel buah premium Selangor tarik permintaan tinggi
Manis, rangup: MeloSel buah premium Selangor tarik permintaan tinggi

SHAH ALAM, 24 OGOS: Benih pertama keluaran negeri, Melo Selangor (MeloSel) yang diperkenalkan pada 2022 bakal menjadi buah premium sekali gus menjamin golongan petani memperoleh pendapatan lebih tinggi.

Buah kategori tembikai berwarna kuning itu mampu dijual tiga kali ganda berbanding varieti lain dan kini mula mendapat permintaan ramai termasuk beberapa negeri yang mahu mengusahakannya.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata hasrat dan rancangan pentadbiran negeri untuk memiliki buah tembikai sendiri kini sudah menampakkan hasil malah tanaman itu bakal diusahakan lebih meluas pada masa akan datang.

Beliau berkata memandangkan tanaman sudah sebati dengan sektor pertanian di negeri ini, maka ia dilihat sebagai satu bonus untuk pihaknya merancakkan lagi produk bernilai tinggi itu.

“Kalau kita lihat sejarah, Selangor antara negeri yang terkenal dengan pengeluaran Rock Melon. Sekarang pun masih banyak lagi melon berkulit hijau ditanam. Maknanya tanaman ini memang sinonim terutama di Kuala Selangor, Tanjong Karang.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas sambutan Hari Melon Kuala Langat di Pusat Pertanian Kampung Endah, Kuala Langat pada 9 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Selepas buat keputusan untuk adakan benih MeloSel ini, kita terus teliti secara menyeluruh. Lagi mudah apabila syarikat penyelidik Green World Genetics Sdn Bhd bertapak di Batu Arang sahaja. Mereka maklumkan melon ada dua jenis. Satu lembut, satu rangup. Jadi saya pilih rangup,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Izham, MeloSel dilihat sebagai kejayaan besar dan sangat istimewa kerana buahnya memiliki identiti tersendiri khususnya bahagian luar supaya ia menjadi simbol milik Selangor.

Justeru, beliau menginginkan kulit buah tersebut tampil unik dengan warna kuning diraja, berbeza buah biasa yang lazimnya berwarna hijau manakala warna oren dipilih untuk bahagian isi.

“Kita tak mahu kulit melon berwarna hijau sebab itu gambaran buah tak masak. Kita nak buah ini unik dari luar jadi pilih kuning. Tak masak kuning, dah masak pun kuning namun akan ada serat timbul. Dalam kita nak oren.

“Secara psikologi, warna ini menimbulkan rasa lapar. Lagi satu saya minta isinya mempunyai aroma enak. Akhirnya selepas dua tahun, syarikat itu bentang hasil kajian. Keseluruhan ada 15 spesimen tapi saya pilih yang ini sebab memenuhi ciri kita mahukan,” katanya.

Beliau berkata MeloSel menjamin pendapatan berganda apabila harganya mencecah RM15 sekilogram berbanding melon biasa yang dijual RM4 sekilogram, namun ia sukar dilihat di pasaran berikutan produktiviti yang rendah.

Jelas Izham, ketika ini buah berkenaan hanya diusahakan secara komersial di Kampung Endah, Kuala Langat melibatkan 10,000 pokok namun bakal diperluas kepada 30,000 pokok pada masa akan datang.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim melihat buah melon (MeloSel) ketika melawat ladang melon sempena sambutan Hari Melon Kuala Langat di Pusat Pertanian Kampung Endah, Kuala Langat pada 9 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Selain kawasan berkenaan, tanaman ini turut diusahakan di Sabak Bernam dengan 2,500 pokok.

“Untuk menjaga kualitinya, kita hanya benarkan sebiji buah setiap pokok. Maknanya setiap pokok satu buah, yang lain kita buang. Kenapa buat macam tu? Sebab kita nak yang terbaik supaya buahnya membesar antara 1.5 kilogram hingga 2 kilogram.

“Cara itu juga sebab nak jamin kandungan manisnya mencecah sehingga 17, 18 brix (sukatan kemanisan), berbanding melon biasa sekitar sembilan, 10 brix. Buah ini memang manis dan sedap. Sebab itu ada negeri nak benih ini,” katanya.

Izham berkata tanaman itu mampu menghasilkan buah ranum pada hari ke-65 hingga 70, sekali gus membolehkan ia ditanam empat pusingan setahun seterusnya membantu petani mendapat keuntungan besar walaupun kos penanamannya kecil.

Katanya ketahanan buah itu yang mampu bertahan kira-kira dua minggu selepas dituai juga memberi nilai tambah kepada petani bagi mengelakkan kerugian.

“MeloSel ini sesuai untuk dijadikan cenderahati. Sekarang kita memang ada dasar pekeliling untuk menggunakan buah tempatan sebagai buah tangan pada majlis rasmi.

“Banyak lagi buah popular ditanam di Selangor antaranya buah naga, ladang di Sepang. Ada juga pisang. Kita akan jadikan hasil tanaman kita sebagai buah tangan,” katanya.

Selain MeloSel, Selangor kini turut menghasilkan empat lagi benih sendiri iaitu Selangor Sweet Melon, jagung bijirin (GrainSel), jagung manis (Selangor Sweet Corn) dan betik (Selangor Tropical Papaya).

“Betik itu kita dah usahakan projek rintisnya di Sungai Tawar, Sabak Bernam. Rasanya memang manis dan sedap. Kita jangka betik ini juga akan mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Selangor juga menumpukan agenda pembakaan beberapa jenis ternakan selepas melihat kebergantungan tinggi negeri terhadap produk import selain menjadikannya cabang ekonomi baharu.

“Kita sekarang dah mulakan pembakaan kambing Barbados Black Belly, udang harimau dan udang putih, kelapa hybrid jenis Sampoorna dan Matag.

“Perkara ini tak diberi tumpuan sangat sedangkan ini penting dalam sektor pertanian. Jadi ini kita akan fokus di Selangor dan bangunkan secara bersepadu walaupun ada juga tempat lain dah buat,” katanya.

Mohd Fadil Abd Fatah memeriksa buah melon di Tapak MeloSel Jalan Angkasa Tebuk Pulai Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.