PETALING JAYA, 24 OGOS: Pendaki Gunung Everest pertama Malaysia menyeru pendaki terutama generasi kini dapat menjaga kebersihan kawasan pendakian mereka.
Datuk M Magendran berkata perbuatan itu sekali gus dapat menjaga persekitaran kawasan daripada pencemaran selain kekal terjaga untuk generasi akan datang.
"Saya percaya aktiviti luar seperti mendaki ini sudah menjadi gaya hidup rakyat Malaysia buat masa ini berbanding pada zaman saya dahulu ia dilihat agak ganjil dan masyarakat beranggapan ia tidak memberi manfaat.

"Tetapi selepas kejayaan Malaysia 1997, kita dapat lihat tertubuhnya banyak persatuan mendaki sehingga sekarang aktiviti ini sudah tidak perlu dipromosi lagi," katanya.
Beliau ditemui ketika Majlis Ramah Mesra Komuniti Pendaki dan Majlis Apresiasi Ekspedisi Trans Titiwangsa V6 di kediaman tokoh wartawan negara yang juga pendaki Tan Sri Johan Jaafar di sini semalam.
Bagaimanapun, Magendran bercadang kempen perlu diadakan untuk memberi kesedaran terutama kepada pendaki muda agar dapat menjaga kawasan pendakian tanpa sebarang isu pencemaran.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Yussainy Md Yusop berkata di Malaysia terdapat 240 trek pendakian berdaftar di bawah Jabatan Perhutanan.
"Jabatan Perhutanan mengawal kapasiti pendaki supaya tidak membebankan denai, iaitu bagi kawasan tanah tinggi 2,000 meter ke atas kita hanya benarkan 60 orang sehari berbanding kapasiti rendah 120 orang sehari.

"Ini langkah yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan untuk memastikan kawasan pendakian ini dapat dikawal supaya flora fauna dapat dinikmati generasi akan datang," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Malim Gunung.