ad

Gegaran gempa bumi lemah dikesan di empat negeri, orang ramai dinasihat peka

24 Ogos 2025, 12:35 AM
Gegaran gempa bumi lemah dikesan di empat negeri, orang ramai dinasihat peka

JOHOR BAHRU, 24 OGOS: Kerajaan Johor menasihati orang ramai menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa, susulan gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz berkata beliau sudah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi dan dimaklumkan setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pagi ini.

Beliau turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon dalam hantarannya berkata MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.

Beliau berkata berdasarkan data yang direkodkan, gegaran tersebut berkekuatan 4.1 magnitud di daerah yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari ibu negeri itu dan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.

“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.