SHAH ALAM, 23 OGOS: Universiti Islam Selangor (UIS) melakar sejarah apabila mencatat rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records menerusi penyertaan terbesar warga kampus dalam program sempena Hari Kebangsaan 2025.
Bahagian Komunikasi Korporatnya berkata program itu menghimpunkan 1,675 warga UIS termasuk mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran yang bertempat di Dewan Sultan Idris Shah, hari ini.
"Peserta menampilkan ekspresi kreatif melalui penulisan ringkas mengenai makna kemerdekaan sebelum membentuk perbarisan berkonsepkan Jalur Gemilang, simbolik kepada perpaduan rakyat Malaysia yang majmuk," katanya dalam kenyataan.

Antara acara yang dipersembahkan adalah perarakan kemerdekaan melibatkan pelbagai kaum dan komuniti setempat diiringi pancaragam serta lintas hormat, . majlis perasmian dengan pertunjukan dron, deklamasi sajak serta persembahan silat.
Selain itu, pertandingan mewarna, sayembara puisi, kuiz, aktiviti santai seperti memancing dan kayak bertemakan kemerdekaan serta malam kebudayaan yang menampilkan persembahan seni pelbagai kaum.
Menurut kenyataan lagi, rekod itu merupakan kejayaan kali kedua selepas kali pertama pada 3 Ogos 2007 ketika universiti itu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).