ad

Polis siasat dakwaan kanak-kanak cuba diculik lelaki bertopeng naik van putih

23 Ogos 2025, 12:06 PM
Polis siasat dakwaan kanak-kanak cuba diculik lelaki bertopeng naik van putih

MELAKA, 23 OGOS: Polis Melaka sedang menyiasat dakwaan seorang kanak-kanak lelaki bahawa dirinya cuba diculik seorang lelaki bertopeng yang menaiki van putih ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Paya Ikan di sini, pada 15 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata laporan itu dibuat di sini pada hari sama kejadian didakwa berlaku membabitkan murid sekolah rendah berusia 12 tahun itu.

"Saya mengesahkan polis menerima laporan kejadian itu yang didakwa berlaku kira-kira 5 petang pada 15 Ogos dan polis masih menyiasat kesahihan dakwaan itu.

"Bagaimanapun, kejadian tidak berlaku di sekolah seperti yang tular di media sosial sebaliknya berlaku ketika mangsa yang berbasikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini siasatan mendapati tiada cubaan culik terhadap kanak-kanak itu dan orang di dalam van yang didakwa pula tidak menegur murid lelaki tersebut.

Sehubungan itu katanya orang ramai dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengundang kegusaran masyarakat khususnya ibu bapa.

Bagaimanapun ibu bapa haruslah sentiasa menjaga keselamatan anak mereka bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, katanya.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk WhatsApp kes cubaan culik seorang murid sekolah rendah di Jalan Datuk Palembang di sini oleh seorang lelaki bertopeng dan menaiki van putih.

Kanak-kanak itu dilaporkan berjaya meloloskan diri dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum laporan polis dibuat.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.