PETALING JAYA, 23 OGOS: Hampir 60 pendaki Malaysia berkumpul dalam majlis santai yang dianjurkan tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaafar, hari ini.
Majlis yang berlangsung di kediaman beliau turut dihadiri dua ikon pendaki negara, Datuk M Magendran dan Datuk N Mohandas yang pernah menakluk puncak Gunung Everest pada 1997.
Johan menerusi sidang media memaklumkan kali pertama beliau menganjurkan program seumpama itu sebagai menghargai pendaki yang banyak mengharumkan nama negara.

"Hari ini merupakan hari yang sangat bersejarah, pertama kalinya kita mengumpulkan pendaki dan pengembara dalam satu pertemuan yang tidak rasmi dan santai. Kita harap pertemuan ini akan diadakan dari semasa ke semasa.
"Tujuannya juga untuk kita meraikan sekumpulan pendaki yang berjaya menamatkan Ekspedisi Banjaran Titiwangsa V6 dari Gerik ke Bukit Fraser mengambil masa 65 hari.
"Pada masa sama kita turut kumpulkan lagenda dalam dunia pendakian, mereka rakyat Malaysia pertama jejak kaki ke puncak Everest, harap dapat memberi inspirasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Malim Gunung Zulkifli M Sanuddin menghargai usaha dianjurkan tokoh wartawan tersebut selain menyifatkan pertemuan itu medium mengeratkan lagi hubungan para pendaki.
Mengulas berhubung cabaran menakluki rekod perjalanan sejauh 656.05 kilometer (km), Zulkifli mengakui ia merupakan tempoh paling panjang beliau pernah uruskan namun banyak ilmu diperoleh.
Katanya, selain menguruskan perjalanan dan keperluan peserta, beliau bertanggungjawab menghantar bekalan makanan dan keperluan lain di empat hentian atau 'check point'.
"Memang banyak cabaran kami lalui sepanjang 65 hari tetapi ia tidak sama sekali mematahkan semangat kami semua. Ekspedisi ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan pendaki.
"Saya berharap ada peluang untuk saya lalui lagi pengalaman panjang ini kerana ia seronok dan pada masa sama membantu tambah baik kemahiran saya sebagai malim sepenuh masa," katanya.

Sebelum ini, seramai 20 pendaki menamatkan 'Ekspedisi Banjaran Titiwangsa V6' sejauh 656.05km menjadikan rekod perjalanan pendakian terpanjang Asia Tenggara melintasi enam gunung berketinggian lebih 2,133 meter.
Bermula di Jeli, Kelantan pada 13 April lalu dengan 28 peserta dan berakhir di Bukit Fraser, Pahang pada 16 Jun dengan 20 peserta sahaja berjaya ke garisan penamat.