ad

Hormati Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan negara - Anwar

23 Ogos 2025, 10:40 AM
Hormati Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan negara - Anwar

SEREMBAN, 23 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jalur Gemilang perlu dihormati sebagai lambang kebanggaan negara dan tidak menjadikan ia sebagai alat yang memanaskan suhu perpecahan antara kaum.

Beliau berkata jika wujud kesilapan melibatkan Jalur Gemilang, pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan sewajarnya tidak kira sama ada jabatan kerajaan atau swasta.

“Bulan ini bulan merdeka, mudah-mudahan kita ambil kesempatan untuk naikkan semangat… muliakan Jalur Gemilang dan pupuk semangat perpaduan yang boleh jaga keamanan dan tumpu ke arah mengangkat martabat negara kita.

“Bendera itu tanda, lambang kebanggaan negara, jadi kena jaga," katanya ketika berucap merasmikan fasiliti kilang pembuatan kenderaan perisai milik Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) di Sendayan hari ini.

Perdana Menteri juga menyeru semua pihak agar meningkatkan semangat perpaduan dan mencintai negara sempena Bulan Kebangsaan ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan berterusan pasukan keselamatan termasuk angkatan tentera, polis serta agensi penguatkuasaan yang harus sentiasa dihargai.

“Bila kita bercakap soal pelaburan tinggi, pertumbuhan negara yang baik dan negeri yang aman, kita tidak boleh lupa bahawa semua ini kerana pasukan keselamatan.

"Siapa jangka ada peperangan Thailand-Kemboja? Siapa jangka pergaduhan di Myanmar berlarutan?

“Bila ada pergaduhan itu, ia melibatkan juga... melimpah sampai ke Thailand ke Bangladesh dan ke Malaysia… sebab itu, kita (pasukan keselamatan) harus sentiasa bersiap siaga dan bersedia,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.