SHAH ALAM, 23 OGOS: Elemen mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan reka bentuk sejagat sepenuhnya perlu dilaksanakan dalam pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu.
Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata elemen itu perlu bagi memastikan kemudahan inklusif untuk semua golongan berkenaan.
Bagaimanapun, menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan sudah dimasukkan dalam pelan pembangunan stadium berkenaan.
“Di luar negara, adalah perkara biasa golongan OKU menonton bola sepak di stadium, tetapi di Malaysia ia masih jarang berlaku. Sebab itu kita mahu pastikan akses lengkap dan baik, bermula daripada parkir hingga ke tempat duduk.
“Sebagai contoh, pengguna kerusi roda tidak boleh ditempatkan di belakang penonton lain sehingga pandangan mereka terhalang. Ini standard yang kita mahu capai,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Kesedaran Autisme Heart Of The Rainbow di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini, hari ini.

Danial yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata walaupun lakaran akhir stadium masih belum dimuktamadkan, namun MBI memberi jaminan elemen mesra OKU telah diambil kira.
“Dalam jawatankuasa kami, ada seorang ahli khusus memantau aspek 'universal design'. Perbincangan dibuat dengan MBI dan mereka telah memasukkan cadangan-cadangan tersebut.
“Namun, masih ada aspek yang perlu ditambah baik. Ini usaha berterusan kami, bukan hanya untuk Stadium Shah Alam, tetapi juga projek pembangunan lain,” katanya.
Menurut Danial, Kerajaan Selangor akan memperkenalkan panduan akses sejagat di peringkat negeri sebagai rujukan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sebagai contoh, MBPJ sudah ada buku panduannya sendiri. Kita mahu satu panduan negeri yang boleh diadaptasi oleh semua PBT,” jelasnya.

Mengulas mengenai program kesedaran berkenaan, beliau berkata inisiatif seumpama itu penting untuk mendidik masyarakat mengenai gangguan spektrum autisme (ASD).
“Alhamdulillah, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Yayasan Anak Istimewa Selangor (Yanis) berjaya menganjurkan karnival ini yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap individu autisme.
“Kerajaan Negeri sentiasa memerlukan lebih ramai rakan kolaborasi bagi melaksanakan program sebegini secara berterusan, termasuk menjelang sambutan Hari OKU hujung tahun ini,” katanya.
Karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai ASD, menggalakkan penerimaan masyarakat dan menyediakan ruang sokongan komuniti.
Antara aktiviti menarik adalah acara mewarna, seni pasir, melukis, pameran komuniti serta seminar oleh pakar berpengalaman.