ad

Anwar ajak rakyat sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka, esok

23 Ogos 2025, 4:04 AM
Anwar ajak rakyat sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka, esok

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghadiri Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka pada esok sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata perhimpunan itu bukan sahaja simbol sokongan kepada saudara di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis, malah akan menjadi titik mula gerakan delegasi aktivis yang bakal membawa bantuan ke Gaza hujung bulan ini.

“Insya-Allah, Ahad ini akan bersama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti buat saudara kita di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.

“Ayuh kita semarakkan panji-panji keadilan dan kemanusiaan di Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza. Semoga doa dan usaha ini menjadi kekuatan untuk saudara kita terus bangkit dalam perjuangan memerdekakan bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau semalam.

Acara anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu dinaungi Perdana Menteri serta disokong Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menurut penganjur, lebih 100,000 peserta dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan itu dengan tema pakaian berwarna putih.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.