PETALING JAYA, 22 OGOS: Seramai 17 daripada 38 penjaja berlesen di kawasan Lembah Subang 1 telah memohon tapak gerai baharu yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) susulan kerja-kerja pengalihan gerai yang dijalankan pada 20 Ogos lalu.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah, pengalihan itu membabitkan 64 gerai penjaja yang telah beroperasi lebih 20 tahun di kawasan tersebut.

“Langkah ini diambil kerana tapak asal bukan kawasan yang diwartakan untuk aktiviti penjajaan. Ia sebenarnya laluan jalan empat lorong dan MBPJ juga akan membina laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Subang.
“Hasrat kita adalah untuk melihat penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang menikmati kemudahan perumahan yang lebih terancang dan selesa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak gerai penjaja di PPR Lembah Subang 1, di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohammad Fahmi, struktur gerai yang menutup longkang di kawasan berkenaan turut menjadi punca utama berlakunya banjir kerana sistem perparitan tidak dapat diselenggara dengan baik.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang berunding dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunkan semula PPR Lembah Subang 1 kepada perumahan yang lebih baik, moden dan selesa seperti di Kota Damansara.
“Fokus kita bukan hanya pada pengalihan penjaja, tetapi juga pada perancangan jangka panjang agar penduduk di sini mendapat persekitaran perumahan dan infrastruktur yang lebih teratur dan selesa,” katanya.