SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan Negeri memulakan fasa kedua Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) selepas selesai melantik perunding Pelan Induk Air Selangor, kata pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Menurut Dato’ Johary Anuar, antara pelaksanaan pelan itu adalah mengubah air sisa dari perbandaran atau industri menjadi air yang boleh digunakan semula.
“Hasratnya supaya air yang diproses itu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sekali gus kelestarian air di Selangor semakin berdaya tahan.

“Selain itu hala tuju lain adalah memastikan pengurusan air yang mampan meliputi pengurusan banjir. Kalau air kurang kita hadapi masalah bekalan, namun jika lebih pula, berlaku banjir dan pelan induk ini akan ambil kira kedua-dua aspek secara menyeluruh,” katanya.
Pada 13 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri sedang merangka pelan induk bagi menangani isu berkaitan bekalan air jangka panjang, pencemaran serta penyelesaian masalah banjir di kawasan tertentu.
Pelan induk yang bakal dijadikan garis panduan dalam mengurus sumber air merangkumi aspek penyimpanan, lokasi kolam tadahan dan sistem kawalan banjir jangka panjang itu, dijangka siap dalam tempoh setahun lagi.
Sehingga kini, lebih 100 kolam dikenal pasti di seluruh negeri dan dalam proses digazetkan sebagai kawasan simpanan strategik.