Kawalan menyeluruh termasuk penglibatan komuniti mampu mengurangkan kes jenayah daripada berleluasa, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Kajang.
Ini selaras kenyataan bekas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, Julai lalu, bahawa libat urus bersama komuniti berjaya mencetuskan dampak ketara terhadap keselamatan awam.
Di Sungai Kantan, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) giat menjalankan rondaan 365 hari setahun, bagi mencegah kes jenayah di kawasan tersebut.
Ditubuhkan sejak 1984, KRT yang dianggotai lebih 100 penduduk pelbagai latar belakang menjalankan pemantauan sukarela tanpa elaun khas demi keselamatan masyarakat setempat.
Empat hingga 12 anggota meronda setiap hari menggunakan motosikal dan kereta dalam kawasan seluas 9,000 hektar. Setiap seorang dibekalkan lampu suluh, cota, seragam dan kad kuasa.
"Kita juga menjalankan operasi sekatan jalan selepas 12 malam dengan meletakkan kon dan memerhati kenderaan atau indvidu yang mencurigakan sebagai pencegahan," kata Raja Amir Raja Aman.
Kerjasama dengan polis
Pengerusi KRT itu memberitahu kebanyakan kes jenayah melibatkan cubaan pecah rumah dan ragut, termasuk samun hingga membakar rumah.
Bimbang keadaan itu berterusan, penduduk setempat turut mengkuhkan kerjasama dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang untuk melakukan rondaan bersama pada setiap bulan.

“Kajang kawasan yang luas selain jurang nisbah penduduk dengan polis besar, justeru kami bersama Jabatan Perpaduan Daerah Hulu Langat membantu pihak berkuasa menanganinya," jelasnya kepada Media Selangor.
Raja Amir menambah kewangan antara cabaran dalam melaksanakan tindakan tersebut, namun tidak pernah melunturkan semangat pasukan untuk terus berbakti memelihara keselamatan penduduk.
Kempen '1 Keluarga 1 Anggota SRS'
Penolong pegawai daerah Hulu Langat memaklumkan kempen '1 Keluarga 1 Anggota SRS' menggalakkan setiap keluarga menghantar seorang wakil untuk menyertai pasukan peronda berkenaan.
Menurut Ahmad Rizal Abdul Razak, setiap anggota mestilah warganegara berusia 18 tahun ke atas, yang akan diberikan latihan khusus bagi mengukuhkan kemahiran rondaan.

"Kami menggalakkan orang ramai menyertai SRS melalui (hebahan) di Facebook dan TikTok termasuk kempen dalam Sambutan Minggu Perpaduan di Pandamaran, Klang pada 22 hingga 24 Ogos," katanya.
Pada masa sama, Timbalan Pengerusi KRT Datuk Ahmad Shamsuddin Ramli berharap lebih ramai anak muda terlibat dalam KRT untuk memastikan kelangsungan dan keberkesanan kumpulan peronda tersebut.
"Kami juga mahu pupuk kerjasama erat dengan KRT zon lain untuk bertukar cadangan bagi mengukuhkan KRT sedia ada dalam usaha membanteras jenayah serta memelihara hubungan komuniti," ujarnya lagi.