SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempercepatkan kerja-kerja baik pulih kerosakan pagar dan longkang kolam tadahan Sungai Batu 50, Taman Klang Utama bagi memastikan isu banjir kilat dapat diatasi demi keselamatan penduduk terkesan.
Menurut Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBK) Ngian Yok Moi, kerja baik pulih yang dilaksanakan bermula 16 Jun lalu turut melibatkan penukaran sistem pam daripada manual kepada sistem automatik dengan peruntukan sebanyak RM111,000 dan kini sudah mencapai tahap kemajuan 20 peratus.
Projek dijadualkan siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober 2025 dan akan memberi manfaat kepada ribuan penduduk. Kolam ini turut diselenggarakan oleh MBDK melalui Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) meliputi kerja pembersihan dengan kerjasama pihak KDEB Waste Management.
Tambah Yok Moi lagi, kerja-kerja penyelenggaraan pam kawalan banjir di Taman Mutiara, Bukit Raja dan Taman Klang Utama pula telah bermula sejak Februari lepas dan dijangka siap pada 2027. Kerja penyelenggaran dengan peruntukan RM166,000 itu meliputi skop kerja baik pulih aksesori pam, penyelenggaraan berkala, pembersihan perangkap sampah serta kerja-kerja luar jangka.
"Sejak kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan longkang yang dilaksanakan secara berperingkat dilaksanakan, tiada lagi air banjir memasuki rumah penduduk"
Banjir kilat merupakan isu utama yang sering dibangkitkan penduduk Taman Klang Utama. Sehubungan itu, MBK terus berusaha menaik taraf infrastruktur kolam tadahan termasuk pemasangan autopam dan sistem kawalan air yang lebih efisien.
Manakala Pengerusi Persatuan Penduduk Klang Utama, Tan Poh Hock berkata walaupun banjir kilat masih berlaku namun ianya seteruk sebelumnya selepas pihak MBDK menambah baik sistem saliran yang ada.
"Sebelum ini banjir sampai masuk rumah,tapi sejak menjalankan kerja naik taraf berterusan secara berperingkat banjir hanya berlaku di paras buku lali dan melibatkan kawasan jalan-jalan sekitar dan tidak memasuki rumah penduduk,” katanya.