SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan pemaju swasta dalam usaha mempercepatkan penyediaan rumah mampu milik selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata kerjasama strategik itu diyakini mampu meningkatkan penawaran unit rumah berpatutan, strategik dan berkualiti bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Setiap pemaju yang dilantik wajib mematuhi semua syarat dan prosedur yang ditetapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“LPHS juga akan memantau pelaksanaan projek secara berterusan bagi memastikan harga, kualiti dan lokasi rumah yang dibangunkan menepati keperluan rakyat Selangor,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Di bawah pelaksanaan Dasar Rumah Selangorku 3.0, Borhan berkata harga rumah ditetapkan antara RM114,750 hingga RM250,000 bergantung jenis dan saiz unit yang ditawarkan.

Katanya, kajian semula terhadap dasar itu hanya akan dibuat sekiranya terdapat keperluan mendesak dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kelestarian projek.
Selain itu, Borhan berkata Kerajaan Selangor juga menyediakan mekanisme tambahan seperti Skim Smart Sewa dan penawaran unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan LPHS dengan kadar sewa berpatutan bagi tempoh dua hingga lima tahun.
Beliau menambah, sebahagian daripada bayaran sewa akan disimpan sebagai simpanan perumahan dan pada akhir tempoh sewaan, 30 peratus daripada jumlah sewaan terkumpul akan dipulangkan kepada penyewa sebagai deposit untuk pembelian rumah.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di bawah RMK13, satu juta unit rumah mampu milik akan dibina antara 2026 hingga 2035.
Anwar berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui pelbagai program yang melibatkan kerjasama antara persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki rumah selesa dan selamat.