ad

Tanah runtuh di Paya Terubong susulan hujan lebat lebih tiga jam

21 Ogos 2025, 11:13 AM
Tanah runtuh di Paya Terubong susulan hujan lebat lebih tiga jam

GEORGE TOWN, 21 OGOS: Hujan lebat lebih tiga jam sejak kira-kira 12 tengah hari tadi mengakibatkan berlaku runtuhan tanah di kawasan cerun berhampiran kediaman penduduk di Jalan Paya Terubong, di sini.

Bagaimanapun, kejadian berdekatan dengan tiga rumah dibina di kawasan lereng bukit di situ tidak melibatkan sebarang mangsa.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Syafizani Mohd Rosli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.41 petang memaklumkan terdapat runtuhan tanah di kawasan terbabit.

"Sepasukan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku runtuhan tanah berkeluasan kira-kira 21 meter persegi di kawasan cerun berhampiran tiga rumah.

"Dua rumah terletak di bahagian atas manakala sebuah rumah di bahagian bawah iaitu jarak antara cerun itu kira-kira 10 meter. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut berada di lokasi bagi membuat pemeriksaan awal termasuk memasang kanvas di runtuhan tanah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Syafizani berkata operasi pihak bomba tamat pada 5.10 petang dan kes diserahkan kepada pihak polis serta JKR untuk pemantauan serta tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong Wong Hon Wan meminta JKR membuat pemantauan rapi termasuk pemeriksaan pergerakan tanah di kawasan cerun bagi menjamin keselamatan penduduk.

"Setakat ini, pihak JKR telah memasang kanvas di kawasan runtuhan tanah supaya dapat mengurangkan pergerakan tanah, seterusnya kita akan susuli dengan pemantauan oleh JKR dan dapatan daripada mereka bagi tindakan seterusnya di situ," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.