SHAH ALAM, 21 OGOS: Pasukan pilihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menepati ramalan apabila muncul juara Piala Sumbangsih Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) selepas menumpaskan SMK Datuk Harun 5-1 hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Padang Sintetik Seksyen 19 di sini, anak buah Osmera Omaro itu berjaya membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap Vincenzo Oliveo Donny pada minit keempat.
SMK Shah Alam kemudiannya menggandakan kedudukan selang enam minit kemudian menerusi Muhammad Hadif Mohammad Hazzuar sebelum Vincenzo kembali mencetak nama sebagai penjaring menerusi gol pada pada minit ke-16.
Bagai jatuh ditimpa tangga, SMK Datuk Harun terus dibolosi pada minit ke-19 menerusi Muhammad Danish Harith Muhammad Zakri.
Bagaimanapun SMK Datuk Harun cuba merapatkan jurang menerusi jaringan Muhammad Danial Azfar pada minit ke-32.
Memasuki babak kedua, SMK Shah Alam berjaya meraih gol kelima mereka sekali lagi menerusi Muhammad Danish Harith pada minit ke-51 untuk melengkapkan kemenangan mutlak 5-1.
“Kami tak terkejut dengan kemenangan ini kerana kami yakin boleh menang perlawanan ini. Jadi kami harap momentum dapat diteruskan pada aksi yang seterusnya,” kata Osmera.