ad

Afdal solat tarawih berjemaah, asal-usul bilangan rakaat

1 Ogos 2025, 2:00 AM
Afdal solat tarawih berjemaah, asal-usul bilangan rakaat

Antara perkara yang dinisbahkan kepada Umar al-Khattab ialah menghimpunkan orang ramai untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah pada bulan Ramadan.

Telah sabit bahawa solat malam (qiyam) pada Ramadan pernah dilakukan oleh nabi. Baginda pernah solat berjemaah bersama para sahabatnya. Namun, Baginda meninggalkannya kerana bimbang ia akan diwajibkan ke atas mereka.

Orang ramai telah menunaikan solat tersebut secara bersendirian pada zaman Rasulullah, zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan permulaan pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Maka pada suatu malam, Umar keluar lalu melihat orang ramai solat secara berkelompok di masjid.

Lalu beliau berkata: "Alangkah baiknya jika aku himpunkan mereka di belakang seorang imam." Maka beliau memerintahkan Ubay bin Ka‘b agar mengimami mereka. Kemudian, Umar keluar pada malam yang lain dan melihat mereka berhimpun di belakang Ubay bin Ka‘b, lalu beliau gembira dengan keadaan itu.

Umar juga dinisbahkan dengan penambahan bilangan rakaat solat sunat pada bulan Ramadan atau selainnya daripada sebelas rakaat kepada dua puluh rakaat atau lebih. Namun, perkara ini sesuatu yang tidak ada kesepakatan.

Umat Islam mendirikan solat sunat tarawih berjemaah di Masjid Jamek Cina Muslim, Klang pada 1 Mac 2025. Foto BERNAMA

Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim - Aisyah memberitahu Rasulullah keluar pada pertengahan malam lalu menunaikan solat di masjid. Maka, beberapa orang lelaki pun solat bersama Baginda. Keesokan paginya, orang ramai mula memperkatakan hal itu. Pada malam kedua, lebih ramai orang berhimpun.

Rasulullah keluar lagi dan mereka pun solat bersama Baginda. Keesokannya, orang ramai kembali menyebut peristiwa itu, menyebabkan lebih ramai hadir ke masjid pada malam ketiga. Rasulullah keluar dan mereka solat bersama-sama Baginda. Tiba malam keempat, masjid tidak dapat menampung bilangan yang hadir. Namun, Rasulullah tidak keluar hinggalah tiba waktu solat Subuh.

Selesai solat Subuh, Baginda berpaling kepada para jemaah, bertahmid dan bersyahadah, kemudian bersabda:

"Amma ba‘du, sesungguhnya tidak tersembunyi bagiku apa yang berlaku pada malam tadi tetapi aku bimbang solat malam itu akan difardu ke atas kamu lalu kamu tidak mampu melaksanakannya."

Dalam satu riwayat Muslim dinyatakan:

"Peristiwa itu berlaku dalam bulan Ramadan."

Dalam riwayat al-Bukhari pula disebut: "Lalu Rasulullah wafat dalam keadaan perkara itu kekal sebagaimana sedia ada (yakni solat malam bersendirian atau berjemaah secara tidak tetap)."

Al-Bukhari meriwayatkan ‘Abdur Rahman bin ‘Abdul Qari’ berkata:

"Aku keluar bersama-sama Umar al-Khattab pada suatu malam dalam bulan Ramadan menuju ke masjid. Kami dapati orang ramai berkelompok dalam keadaan berpecah; ada lelaki solat bersendirian, ada juga lelaki yang diikuti beberapa orang lain yang solat bersamasamanya."

Maka Umar berkata: “Sesungguhnya aku berpandangan sekiranya aku himpunkan mereka di belakang seorang qari (imam) sahaja, tentu ia lebih baik dan lebih teratur.” Lalu, beliau bertekad dan menghimpunkan mereka di belakang Ubay bin Ka‘b.

Perbezaan bawa perpecahan

Kemudian aku keluar bersama-samanya pada malam lain. Orang ramai ketika itu sedang solat berjemaah mengikuti bacaan imam. Umar pun berkata:

“Sebaik-baik bidaah inilah. Namun yang mereka tinggalkan itu (yakni solat pada akhir malam) lebih baik daripada yang mereka laksanakan sekarang (solat pada awal malam).”

Baginda berkata demikian kerana orang ramai ketika itu mendirikan solat pada awal malam. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata:

"Bid‘ah pada asalnya merujuk kepada sesuatu yang diada-adakan tanpa contoh sebelumnya. Dalam istilah syarak, ia digunakan sebagai lawan kepada sunnah, maka ia dianggap tercela. Namun, setelah diteliti, jika perkara itu termasuk dalam sesuatu yang dianggap baik oleh syarak, maka ia adalah bid‘ah hasanah (baik).

"Dan jika ia termasuk dalam perkara yang dianggap buruk oleh syarak, maka ia adalah bid‘ah buruk. Jika tidak termasuk dalam kedua-duanya, maka ia tergolong dalam kategori harus (mubah). Bahkan, bid‘ah terbahagi kepada lima hukum:wajib, sunat, harus, makruh dan haram."

Imam Malik pula meriwayatkan dalam alMuwatta’ daripada Yazid bin Ruman, katanya: "Pada zaman Umar, orang ramai menunaikan solat malam Ramadan sebanyak dua puluh tiga rakaat."

Al-Bukhari dan selainnya meriwayatkan Aisyah berkata: "Rasulullah tidak pernah menambah bilangan rakaat pada bulan Ramadan mahupun selainnya melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat — maka jangan ditanya tentang keelokan dan panjangnya bacaan dan rukuknya — kemudian Baginda solat lagi empat rakaat, juga jangan ditanya tentang keelokan dan panjangnya, kemudian Baginda solat tiga rakaat."

Umar menyimpulkan daripada perbuatan nabi yang membenarkan orang ramai bersolat bersamasamanya selama tiga malam, bahawa solat tarawih berjemaah itu sesuatu yang disyariat. Nabi hanya tidak meneruskannya kerana bimbang ia akan difardukan ke atas umatnya.

Apabila nabi wafat, hilanglah kebimbangan itu. Umar pula melihat solat berjemaah lebih utama kerana perbezaan cara dalam kalangan umat boleh membawa kepada perpecahan dan berjemaah di belakang seorang imam lebih menguatkan semangat kebanyakan jemaah.

Pandangan Umar diikuti majoriti ulama. Namun ada riwayat daripada Imam Malik, juga pendapat Abu Yusuf dan sebahagian ulama Syafi‘iyyah bahawa solat tarawih di rumah lebih utama berdasarkan hadis umum nabi yang diriwayatkan oleh Muslim:

"Sebaik-baik solat seseorang adalah di rumahnya kecuali solat yang fardu."

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.