ad

Perkukuh institusi keluarga untuk bendung jenayah juvana

20 Ogos 2025, 12:12 PM
Perkukuh institusi keluarga untuk bendung jenayah juvana

SHAH ALAM, 20 OGOS: Setiap kes juvana yang berlaku besar implikasinya kepada negeri dan negara terutama daripada aspek kehilangan potensi masa depan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata punca utama peningkatan kes juvana ialah kelemahan institusi keluarga selain tekanan hidup di bandar dan pengaruh rakan sebaya.

“Keluarga sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak meneroka dunia dan ruang selamat untuk mereka kembali.

“Selain itu, faktor lain seperti media sosial dan keciciran pendidikan turut menyumbang. Namun, asasnya tetap kembali kepada peranan keluarga dalam membentuk jati diri, memberikan perhatian dan membimbing anak-anak dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menambah, pentadbiran negeri turut melaksanakan usaha memperkukuh sokongan komuniti melalui program Sinergi Prihatin dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Anfaal berkata meskipun jumlah kes juvana di Selangor adalah tertinggi secara keseluruhan, namun, kadar relatifnya masih rendah jika dibandingkan dengan saiz populasi negeri.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertuli kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan berkata sebanyak 1,185 kes juvana mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 direkodkan di seluruh negara setakat Jun lalu.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 892 kes, diikuti Johor (731), Perak (506) manakala Perlis merekodkan kes terendah iaitu sebanyak 116 kes.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.