ad

Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bukti keupayaan kejuruteraan, teknikal anak tempatan

20 Ogos 2025, 9:30 AM
Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bukti  keupayaan kejuruteraan, teknikal anak tempatan
Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bukti  keupayaan kejuruteraan, teknikal anak tempatan
Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bukti  keupayaan kejuruteraan, teknikal anak tempatan

HULU LANGAT, 20 OGOS: Kemampuan syarikat tempatan membina Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dengan kapasiti besar menjadi penanda aras baharu pembinaan infrastruktur seumpamanya di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata LRA Langat 2 yang memberi manfaat air bersih dan terawat kepada purata 350,000 akaun membabitkan kira-kira 1.87 juta pengguna juga membuktikan keupayaan pasukan kejuruteraan dan teknikal anak tempatan.

“Saya berterima kasih atas kejayaan yang membanggakan, projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Jadi kita rasa bangga apabila disebut dikendali oleh syarikat-syarikat tempatan yang menunjukkan kemahiran dan keupayaan mereka menguasai teknologi baru.

“Walaupun beberapa kelengkapan itu diimport, tetapi keupayaan pasukan kejuruteraan dan teknikal, kepakaran kita itu menunjukkan sudah sampai tahap di mana LRA Langat 2 ini boleh kita letakkan sebagai salah satu projek besar teknologi canggih yang dikendalikan oleh anak-anak Malaysia sendiri. Saya ucapkan tahniah,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian projek mega infrastruktur air bernilai RM4.2 bilion itu yang dibangunkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Projek LRA Langat 2 berjaya menyelesaikan isu bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan meningkatkan rizab bekalan air terawat, dilengkapi teknologi rawatan air serta pelupusan sisa rawatan air yang terkini, inovatif dan mesra alam.

Memiliki kapasiti berjumlah 1,130 juta liter sehari (JLH), LRA Langat 2 melibatkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau menerusi muka sauk Sungai Semantan, Pahang yang disalurkan melalui terowong sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.

Jajaran paip penyaluran air terawat itu menghubungkan dua koridor utama iaitu koridor Utara (kawasan Ampang dan AU3 Keramat) dan koridor Barat merentasi Hulu Langat, Cheras dan Sungai Besi hingga ke Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara dan Bukit Dengkil.

la dilengkapi pelbagai teknologi moden antaranya teknologi dwi-penapis, iaitu Sistem Granular Activated Carbon (GAC), teknologi rawatan air moden termasuklah tangki penjernih dan pemantauan real-time melalui sistem Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA).

Manakala teknologi proses rawatan air yang mesra alam pula termasuk pencampur statik, air terawat semula (zero discharge) dan Sistem Pelupusan Conveyor sisa rawatan air.


Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.