ad

Pembangunan Jajaran Rel Selangor diteliti bawah Pelan Induk Kereta Api Malaysia

20 Ogos 2025, 5:30 AM
Pembangunan Jajaran Rel Selangor diteliti bawah Pelan Induk Kereta Api Malaysia

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kementerian Pengangkutan (MOT) mencadangkan pembangunan Pelan Induk Kereta Api Malaysia, iaitu satu pelan khusus dan komprehensif bagi memperkasakan industri rel negara secara menyeluruh.

Menterinya,Anthony Loke berkata pelan induk itu akan menjadi panduan kepada kerajaan dalam merancang penyediaan peruntukan yang lebih optimum bagi pembangunan infrastruktur rel.

“Selain dijadikan sebagai langkah untuk memperkasa industri rel negara, Pelan Induk Kereta Api Malaysia ini juga adalah panduan kepada kerajaan dalam merancang penyediaan peruntukan yang optimum bagi pembangunan rel sedia ada dan juga masa depan,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak berhubung kesediaan Kementerian untuk mewujudkan Jajaran Rel Selangor yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang serta Pelabuhan Klang.

Tambah Anthony, cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor pernah dibentangkan kepada Kementerian pada tahun lalu dengan maklum balas dari aspek penambahbaikan diberikan kepada perunding dan Kerajaan Negeri.

Selain isu kos pembangunan, beliau memaklumkan semua pembangunan infrastruktur rel yang dirancang dan dilaksanakan buat masa ini adalah dikaji secara berasingan oleh pemilik projek berkaitan.

Dalam pada itu, Anthony berkata pihaknya sedia menerima maklum balas dalam pembangunan Pelan Induk Kereta Api Malaysia supaya Jajaran Rel Selangor dapat diharmonikan bersama agenda pembangunan rel negara.

Menerusi Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Katanya, pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor itu dijangka mengambil masa selama 10 tahun akan dilaksana secara berperingkat yang melibatkan pelbagai fasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.