ad

Tulang mayat lama masih jadi bukti forensik, dedah rahsia punca kematian

23 Ogos 2025, 4:00 AM
Tulang mayat lama masih jadi bukti forensik, dedah rahsia punca kematian

SHAH ALAM, 23 OGOS: Mayat yang telah lama dikebumikan dan hanya tinggal tulang masih mampu memberikan petunjuk saintifik penting bagi membantu siasatan forensik.

Mantan Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Profesor Dr. Shahrom Abdul Wahid menjelaskan, pemeriksaan teliti pada tulang boleh mendedahkan banyak maklumat termasuk kecederaan dialami mangsa sebelum kematian.

“Contohnya, kesan patah menunjukkan sama ada mangsa kena hentak, mempertahankan diri, atau cedera akibat serangan."

"Walaupun tisu lembut sudah hilang, tulang mampu simpan bukti berharga,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Menurut Profesor Dr. Shahrom, pakar forensik boleh menggunakan kaedah imbasan seperti CT Scan, MRI serta ujian histopatologi untuk meneliti cebisan tulang atau tisu yang tinggal.

“Dengan teknik ini, kita boleh mengesahkan sama ada kecederaan berlaku akibat hentakan kuat, kemalangan, atau serangan bersenjata,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun ketepatan analisis berkurang jika mayat terlalu lama dikebumikan, pendapat profesional masih boleh diberikan berdasarkan pemerhatian saintifik.

“Pakar yang terlatih, dengan rekod data sedia ada, tetap boleh beri jawapan sama ada wujud atau tidak kecederaan yang berkaitan dengan punca kematian,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.