SHAH ALAM, 23 OGOS: Proses gali semula mayat atau exhumation merupakan langkah penting dalam bidang forensik bagi merungkai keraguan terhadap punca kematian seseorang.
Mantan Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Profesor Dr. Shahrom Abdul Wahid berkata, proses itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan sesuka hati, tetapi perlu mengikut undang-undang.
Jelasnya, ia hanya boleh dilakukan dengan arahan mahkamah majistret selepas laporan polis dibuat.
“Untuk proses rasmi, mesti ada laporan polis kerana wujud keraguan punca kematian."
"Selepas itu, polis akan merujuk kepada majistret, dan hanya majistret boleh mengeluarkan perintah gali semula,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Tambahnya, kes seumpama ini jarang berlaku di Malaysia kerana kebanyakan siasatan dilakukan lebih awal melalui bedah siasat.
Beliau turut memuji kecekapan sistem Kementerian Kesihatan (KKM) yang memastikan kebanyakan keraguan dapat diselesaikan pada peringkat awal.
“Sepanjang 38 tahun saya di hospital, hanya tiga hingga empat kes sahaja yang pernah dilakukan.”
“Pakar perubatan kita, pegawai perubatan dan sistem KKM sangat bagus."
"Mereka biasanya dapat mengenal pasti punca kematian lebih awal melalui post-mortem, jadi keperluan untuk gali semula sangat berkurangan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, walaupun undang-undang tidak mewajibkan persetujuan keluarga si mati, pihak berkuasa lazimnya tetap memaklumkan waris atas dasar hormat dan menjaga sensitiviti masyarakat.
Mengulas soal sensitiviti agama pula, Profesor Dr. Shahrom menegaskan pasukan forensik sentiasa berhemah dalam menguruskan perkara tersebut.
“Kami selalu berjumpa ketua kampung atau ulama sebelum gali semula dilakukan."
"Jika ada keperluan yang jelas, ulama sendiri akan kata boleh dibuat. Jadi isu sensitiviti agama boleh diselesaikan dengan berhemah,” jelasnya.