SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebanyak 337,851 keluarga di Selangor menerima manfaat air percuma setiap bulan menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE), setakat Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Adam Saffian Ghazali memaklumkan pihaknya menyasarkan seramai 500,000 penerima layak menerima air percuma 20 meter padu.
“Jumlah penerima yang diluluskan sejak skim ini diperkenalkan ialah 337,851 keluarga. Air Selangor sasar lebih ramai pengguna berdaftar layak menerimanya pada masa akan datang.
“Kita akan terus menguar-uarkan inisiatif ini termasuk mempromosinya di laman web rasmi serta platform digital dan membuka pendaftaran melalui Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR).
“Air Selangor turut mengadakan kempen kesedaran serta hebahan melalui pelbagai saluran termasuk media sosial, pusat khidmat pelanggan, dan kerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Bermula 1 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan had kelayakan pendapatan isi rumah permohonan SADE dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Setakat Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri menanggung kos melebihi RM30 juta bagi membiayai skim ini demi memastikan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah dapat menikmati bekalan air bersih secara percuma.
Orang ramai yang ingin memohon boleh melayari laman web rasmi Air Selangor di www.airselangor.com/services/sade.