SHAH ALAM, 19 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menyalurkan bantuan kaunseling dan sokongan emosi kepada keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia Julai lalu.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata pegawai JKM menziarahi ibu arwah dan memberikan bantuan awal bagi meringankan tekanan emosi yang ditanggung keluarga.

“Petugas JKM Selangor telah hadir menziarahi ibu mangsa dan memberi bantuan kaunseling. Sokongan ini akan diteruskan sepanjang tempoh ibu dan keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Advokasi Perkhidmatan Taska dan Sambutan Hari Taska Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Anfaal menegaskan kebajikan keluarga yang berdepan tragedi sebegini sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dan segala usaha digerakkan supaya mereka tidak melalui saat sukar itu bersendirian.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 25 Ogos depan untuk mendengar hujah notis permohonan gali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, yang meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh turut menetapkan Jumaat ini bagi pihak responden mewakili Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengemukakan afidavit balas.
Allahyarham Syamsul Haris, penuntut jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber), dipercayai meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor.
