ad

MPKj: Jejambat baharu atasi trafik di Bandar Tasik Kesuma mula dibina 2026

19 Ogos 2025, 7:34 AM
MPKj: Jejambat baharu atasi trafik di Bandar Tasik Kesuma mula dibina 2026

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Mah Sing Group Bhd telah dilantik oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebagai pemaju utama untuk pembinaan jejambat baharu bernilai RM52.5 juta di persimpangan Jalan Tasik Kesuma dan Jalan Semenyih, Bandar Tasik Kesuma.

Firma itu melalui satu kenyataan hari ini berkata projek itu akan melibatkan 11 pemaju, pembinaan dijangka dimulakan menjelang awal 2026 dan disasarkan selesai menjelang awal 2028.

"Jejambat itu akan diserahkan dan dimiliki oleh MPKj selepas siap,” katanya.

Mah Sing berkata bahawa jejambat sepanjang tiga kilometer itu, akan disokong oleh usaha naik taraf jalan dan persimpangan sedia ada di sepanjang Jalan Semenyih.

"Peningkatan ini direka bagi menangani trafik yang lebih tinggi, meningkatkan keselamatan jalan raya selain memberikan pengalaman memandu yang lebih lancar untuk pengguna," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata syarikat itu teruja selepas dilantik sebagai pemaju utama oleh MPKj yang membabitkan projek infrastruktur penting, malah ia komited bagi menyampaikan reka bentuk dan menyelaras dengan pihak yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.

"Kami percaya inisiatif ini akan menyumbang secara positif kepada masyarakat termasuk kawasan sekitarnya. Selepas siap, sambungan yang lebih baik akan memudahkan penyebaran trafik yang lebih baik, mengurangkan masa perjalanan untuk penumpang dan meningkatkan kebolehcapaian kepada penduduk, perniagaan dan pelawat ke kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Presiden MPKj Nazli Md Taib berkata beliau menghargai komitmen Mah Sing untuk memajukan projek itu termasuk semua pemaju yang mengambil bahagian atas kerjasama dan kesediaan mereka dalam berkongsi kos di kalangan 11 pihak yang terlibat.

"Semangat kerjasama ini mencerminkan perkongsian yang kuat antara pihak berkuasa tempatan serta komuniti pembangunan dalam menyampaikan infrastruktur yang memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Melalui anak-anak syarikatnya, Mestika Bistari Sdn Bhd, Grand Prestige Development Sdn Bhd dan Elite Park Development Sdn Bhd, Mah Sing menerajui majlis menandatangani inisiatif infrastruktur utama yang diadakan di ibu pejabat MPKj semalam.

Voon mewakili Mah Sing pada upacara penandatanganan, yang disaksikan oleh Nazli, Timbalan Presiden MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKj Ir Fadilah Razalli.

Lokasi jejambat baharu ini juga secara strategik agak penting kepada Mah Sing kerana ia terletak berhampiran dengan M Legasi, perbandaran kediaman pegangan bebas kumpulan itu di Semenyih.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.