Pada hari ini dalam tahun 1959, Pilihan Raya Umum Parlimen yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan.
Ia juga merupakan kali yang pertama penduduk Tanah Melayu berpeluang menentukan sendiri peruntukan kerusi dan perjalanan pilihan raya.
Pilihan raya ini telah menyaksikan kenaikan peratus pengundi bagi setiap kaum iaitu 57% Melayu, 30% Cina dan 7% India
Jumlah kerusi yang dipertandingkan juga bertambah daripada 52 pada tahun 1955 menjadi 104 pada tahun 1959.
Antara parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya ini ialah Parti Perikatan (Umno, MCA dan MIC), Parti Negara, Parti Malaya, Parti Islam Se-Tanah Melayu dan beberapa orang calon bebas.
Parti Perikatan telah memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan. Berikutan kemenangan besar Parti Perikatan, YTM Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Parti Perikatan dan perdana menteri telah membentuk Kabinet pertama selepas merdeka yang bebas daripada campur tangan penjajah Inggeris.
Sebuah kerajaan yang bebas dan berdaulat dalam sebuah negara yang merdeka telah berjaya ditubuhkan.




