SHAH ALAM, 18 OGOS: Sejumlah 313 kompaun dikeluarkan sejak 2016 bagi menangani isu tapak sampah haram dan penambakan tanah secara tidak sah di Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok di Kuala Selangor.
Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan, dalam tempoh sama 145 kenderaan disita dan 24 notis diserahkan, dengan 2023 merekodkan jumlah sitaan tertinggi.
“Bermula pada 2008, MPKS telah mengeluarkan amaran lisan serta notis kompaun kepada individu dan pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan tanah dan pembuangan sampah haram.
“Pada 2016, MPKS mengambil langkah lebih drastik dengan menutup kawasan pembuangan sampah haram yang diadukan serta mengorek parit bagi menghalang kenderaan memasuki kawasan tersebut.
“Selain itu, pintu pagar dan pondok haram yang dibina di laluan masuk ke kawasan berkenaan turut dirobohkan,” katanya menerusi kenyataan kepada Media Selangor.
Tambahnya, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor mengenal pasti 51 lot tanah terlibat, dengan tindakan turut diambil terhadap pemilik tanah.
Malah, katanya, Kerajaan Negeri turut mengeluarkan arahan bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan antara agensi dengan lebih teratur dan bersepadu menerusi Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Selangor.
“Sebagai sebahagian daripada tindakan ini, MPKS telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Pengurusan Sampah Haram bagi memantau pelaksanaan arahan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan penyelesaian jangka panjang, MPKS telah mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan antaranya mengadakan perjumpaan dengan pemilik tanah serta pelaksanaan operasi bersepadu.
Selain itu katanya, pemasangan papan tanda larangan dan hebahan awam juga perlu dilakukan termasuk pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat bagi menggalakkan masyarakat melaporkan aktiviti pembuangan sampah haram.
“Tindakan tegas dan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kebersihan dan kesejahteraan penduduk. MPKS juga menggesa orang awam tampil memberikan maklumat sekiranya terdapat aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan mereka,” katanya.
Khamis lalu, PTG Selangor menyita empat jentera berat bernilai lebih RM200,000 yang digunakan bagi mengurus tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sri Sentosa, Ijok.
Operasi bersepadu selama lebih sembilan jam bersama pelbagai agensi itu dibuat di atas tanah seluas kira-kira 100 ekar milik persendirian yang menjadi tempat longgokan sampah haram sejak lebih sembilan tahun lalu.