ad

NUTP: Cegah buli melalui pendidikan awal, bukan beri ganjaran

18 Ogos 2025, 6:00 AM
NUTP: Cegah buli melalui pendidikan awal, bukan beri ganjaran

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berpendapat masalah buli mampu dicegah menerusi pendidikan awal kepada murid di rumah dan sekolah.

Setiausaha Agungnya Fouzi Singon berkata usaha itu lebih penting berbanding pemberian ganjaran atas kejayaan tangani buli yang hanya bersifat sementara serta tidak memberikan penyelesaian secara menyeluruh.

“Bagi saya, buli ini tidak boleh ditafsirkan melalui insentif sebegitu, ia bukan bersifat pertandingan atau program (majlis). Ia (buli) terjadi disebabkan emosi murid-murid terlibat.

“Ini memberikan pandangan bahawa tidak semestinya insentif kewangan boleh atasi buli. Pemupukan nilai susila, adab, menghargai orang lain itu sangat penting untuk pastikan buli ini boleh diatasi dengan baik,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas kenyataan menteri pendidikan yang berjanji akan memberikan insentif khas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr Burhanuddin, Taiping, Perak, jika sekolah itu berjaya mencatat sifar buli.

NUTP

Fadhlina Sidek berkata demikian menerusi hantaran Facebook semalam, selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, hantaran tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat yang bimbang pemberian insentif khas hanya akan menyebabkan gejala buli disembunyikan pentadbir sekolah.

Dalam pada itu, Fouzi menyifatkan kenyataan Fadhlina sebagai reaksi spontan dan ucapan motivasi terhadap sekolah berkenaan dan bukannya pengumuman dasar baharu Kementerian Pendidikan.

Jelasnya, jika perkara tersebut direalisasikan ia bakal memberikan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan selain memerlukan kaedah penilaian khas yang telus dan terperinci.

“Tetapi jika ia perkara betul, sudah tentu perlu ada kaedah tertentu untuk menilai dan ia mungkin babitkan jumlah perbelanjaan yang agak tinggi kepada kerajaan kerana kita ada 10,200 sekolah,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.