ad

Program kesihatan Selangor SLIM dan ASAS kini untuk semua

17 Ogos 2025, 1:00 PM
Program kesihatan Selangor SLIM dan ASAS kini untuk semua
Program kesihatan Selangor SLIM dan ASAS kini untuk semua
Program kesihatan Selangor SLIM dan ASAS kini untuk semua

SELAYANG, 17 OGOS: Dua inisiatif kesihatan Kerajaan Negeri iaitu Selangor Lifestyle Improvement Module (SLIM) dan Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) kini diperluas kepada masyarakat umum dengan pelaksanaan pertama di Pangsapuri Putri Laksamana, Batu Caves, hari ini.

Penduduk menyambut baik usaha tersebut dan menyifatkan program ini memudahkan pendaftaran, selain memberi akses lebih dekat terhadap saringan kesihatan dan suntikan vaksin, khususnya untuk golongan berusia serta keluarga berpendapatan rendah B40.

Pengerusi Badan Pengurus Bersama Pangsapuri Putri Laksamana, A. Ragunaran, 59, berkata pelaksanaan program itu memberikan kelegaan kerana pelbagai perkhidmatan dapat diakses dengan mudah oleh penduduk.

A. Ragunaran, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama

"Saya gembira kerana ini kali pertama kerajaan buat program sebegini. Banyak agensi terlibat dan semua orang puas hati sebab ada pemeriksaan kesihatan percuma dan suntikan vaksin disediakan," katanya.

Penduduk, Fatimah Ibrahim, 63, yang menjadi penghuni di pangsapuri itu sejak 1991 pula menyifatkan inisiatif ini sangat bermanfaat, terutama untuk warga emas, ibu bapa berusia dan kanak-kanak.

"Sejak saya duduk di sini, ini kali pertama program macam ni diadakan. Selalunya kita tak tahu program macam ini wujud. Bagus sebab anak kecil boleh dapat suntikan, manakala ibu bapa diberi panduan pemakanan anak," jelasnya yang mengambil kesempatan untuk mendaftar dalam program Air Selangor.

Fatimah Ibrahim

Fatimah berharap program ini diperluas ke kawasan lain terutama yang kurang mendapat akses termasuk kawasan kampung.

Berkongsi pendapat sama, Mohamed Jaffar Botok, 77, menambah urusan pendaftaran lebih mudah sekali gus mengurangkan beban warga emas yang kurang mahir menulis atau menggunakan teknologi.

"Program macam ni memang bagus untuk rakyat. Tak perlu ke pejabat, semuanya boleh daftar di sini. Petugas pun bantu isi borang, sangat memudahkan orang tua macam saya," katanya.

Mohamed Jaffar Botok

Sementara itu, Ummi Sofiah Amirullah, 34, yang juga ibu kepada empat anak, mengakui program ini memberi pendedahan kepada penduduk termasuk dirinya mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

"Saya baru tahu tentang semua program ni. Bagus bila buat di kawasan perumahan, senang untuk penduduk dapatkan perkhidmatan tanpa perlu pergi jauh," katanya sambil memaklumkan beliau turut mendaftarkan anaknya dalam program ASAS.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu turut menyediakan kaunter pendaftaran pelbagai program bantuan, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah serta demonstrasi masakan sihat, serta aktiviti interaktif untuk kanak-kanak.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaludin berkata Kerajaan Negeri menyasarkan penjelajahan ke sembilan daerah dengan pelaksanaan di 18 lokasi bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada dua inisiatif tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.