SEKINCHAN, 17 OGOS: Seramai 52 penduduk Taman Ria yang terjejas akibat ribut pada Mac lalu menerima sumbangan berjumlah RM39,500 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Dato’ Ng Suee Lim berkata Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam (PDTSB) turut menyalurkan bantuan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban mangsa.
“Sumbangan awal telah disalurkan sejurus selepas kejadian ribut dilaporkan pada Mac lalu. Hari ini pula adalah kesinambungan kepada bantuan terdahulu.
“Kita prihatin terhadap nasib penduduk yang terkesan, dan bantuan ini diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Bencana Ribut Taman Ria di Dewan Sri Sekinchan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, berkata dana yang diagihkan adalah sebahagian daripada peruntukan khas RM1 juta untuk menangani bencana di Selangor.
“Setiap keluarga menerima RM500 daripada Yayasan MBI. Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mangsa membaiki rumah dan menampung keperluan asas mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, setakat ini kira-kira RM600,000 daripada keseluruhan peruntukan telah digunakan untuk pelbagai insiden bencana di seluruh negeri, dengan penduduk Putra Heights menjadi penerima tertinggi susulan kebakaran paip gas.
Ahmad Azri menegaskan Yayasan MBI akan terus komited menyantuni komuniti yang terjejas, menyifatkan usaha itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial yayasan terhadap rakyat Selangor.