ad

Buli di tempat kerja bukan isu remeh, sebaliknya jenayah organisasi

17 Ogos 2025, 9:30 AM
Buli di tempat kerja bukan isu remeh, sebaliknya jenayah organisasi

SHAH ALAM; 17 OGOS: Buli di tempat kerja tidak seharusnya dipandang remeh, malah perlu dilihat sebagai satu bentuk pelanggaran serius yang mampu menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan mental pekerja.

Menurut Pengarah Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (iCAN) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Noriah Mohamed Ali, pihak pengurusan termasuk Jabatan Sumber Manusia (HR) perlu menganggap isu buli sebagai jenayah organisasi, bukan lagi sekadar hal dalaman atau perkara kecil.

“Buli tidak semestinya berlaku dalam bentuk fizikal. Kata-kata berulang yang memperlekeh atau menyindir juga boleh memberi kesan emosi, seterusnya menjejaskan kesihatan mental mangsa,” katanya ketika hadir dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pekerja yang menjadi mangsa tidak hanya berdiam diri, sebaliknya tampil membuat aduan bagi melindungi hak mereka.

Namun begitu, Noriah menekankan bahawa aduan tidak boleh dibuat secara lisan sahaja, sebaliknya perlu disertakan secara bertulis dan disokong dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Pengarah Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (iCAN) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Noriah Mohamed Ali ketika siaran program Bicara Semasa terbitan Media Selangor pada 15 Ogos 2025. Foto Aliff Haiqal Mohamed/MEDIASELANGOR

“Aduan mesti bertulis, bukan sekadar lisan, dan perlu ada bukti. Kalau tak, kita tak boleh buat siasatan yang adil,” katanya.

Bermula 11 Julai lalu, kerajaan meminda Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 bagi memperkukuh perlindungan terhadap pekerja di tempat kerja.

Pindaan itu bertujuan memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat dan saksama, dengan mengklasifikasikan gangguan di tempat kerja sebagai kesalahan jenayah.

Pembuli terlalu banyak masa lapang

Mengulas punca berlakunya budaya buli dalam organisasi, Noriah menyatakan bahawa pembuli di tempat kerja lazimnya bukan dalam kalangan kakitangan yang sibuk, sebaliknya individu yang mempunyai terlalu banyak masa lapang.

“Orang yang sibuk dengan tugas, tak ada masa nak membuli. Bila terlalu banyak masa lapang, pembuli mula sibuk dengan hal orang lain termasuk bergosip dan cari salah,” katanya.

Beliau menegaskan HR mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan budaya kerja kekal sihat dan profesional di tempat kerja.

Namun, sebarang siasatan terhadap kes buli perlu berpaksikan dokumentasi dan laporan rasmi, bukannya sangkaan atau aduan kosong.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.