PASIR SALAK, 17 OGOS: Felcra Bhd mencatatkan keuntungan boleh agih interim pertama 2025 berjumlah RM178 juta, menunjukkan peningkatan daripada prestasi tahun sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata daripada jumlah itu, RM101 juta akan diagihkan kepada 74,300 peserta di seluruh negara secara berperingkat mulai hari ini.
“Saya mengucapkan syabas kepada Felcra kerana kejayaan mengekalkan prestasi yang baik iaitu kenaikan hampir RM2 juta daripada prestasi bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya pada majlis pengisytiharan keuntungan boleh agih interim pertama 2025 projek peserta Felcra di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Idris Lasim.
- BERNAMA