SHAH ALAM, 17 OGOS: Kepelbagaian masyarakat yang saling menghormati dan hidup aman damai di negeri ini diterjemahkan melalui dasar Kerajaan Negeri yang adil.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata semangat itu boleh dilihat apabila pentadbirannya memberikan peruntukan sama rata kepada semua jenis sekolah.
"Apabila kita memberikan peruntukan untuk sekolah, kita menyalurkan kepada sekolah agama dan sekolah kebangsaan, tetapi pada masa yang sama kita tidak melupakan sahabat kita di sekolah Cina dan sekolah India.
"Setiap tahun tanpa gagal, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta hingga RM9 juta kepada sekolah Cina di Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-91 Persatuan Teochew Malaysia di Dewan SJKC Pandamaran B, malam tadi.
Sebelum ini, Amirudin berkata sejak 2009, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan sebanyak RM101 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR), RM72.5 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan RM16 juta kepada sekolah menengah persendirian Cina.
Tambah beliau, sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) menerima RM59.6 juta, diikuti RM6.8 juta kepada sekolah mubaligh serta RM3.3 juta sekolah Kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata masyarakat di negara itu sangat menitik berat semangat bersatu padu dan hidup sebagai satu bangsa yang bebas dan berdaulat.
“Kita sebagai masyarakat Malaysia bersikap terbuka dengan budaya kaum lain selain Melayu yang turut tinggal di sini, untuk dijadikan sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.
“Kita perlu lebih memahami antara satu sama lain supaya lahir rasa kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar, sebuah masyarakat yang adil dan hidup dengan aman damai," katanya lagi.