Nepal di kaki Himalaya dan Pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan mungkin dipisahkan oleh jarak, namun keduanya disatukan dengan kemurnian hati serta kebaikan manusia yang tersulam dalam kehidupan sederhana.
Di bawah bayangan Himalaya yang megah, di celah lorong berbatu dan deretan rumah kecil, tersimpan kehidupan yang memilih damai di tengah hiruk-pikuk dunia. Nepal bukan sekadar sebuah negara di peta, tetapi jiwa yang bernafas dengan ketulusan.
"Nepal Touching Souls" bukan hanya pameran seni, tetapi jemputan untuk merasai denyut nadi sebuah bangsa. Ia membawa pengunjung ke lorong berbau tanah basah selepas hujan, ke dapur sederhana yang menghidangkan makanan panas tanpa syarat, hingga ke senyuman yang lahir daripada kebaikan tulus.

Menurut kurator pameran yang juga jurufoto bebas, Grace Ho Pui Wan, keikhlasan penduduk Nepal jelas tergambar dalam cara mereka membantu meskipun dengan tangan kosong.
“Mereka berkongsi secangkir cha (teh) panas bukan kerana berlebihan, tetapi kerana percaya kebaikan itu seperti aliran sungai gunung, hanya kekal jernih jika terus mengalir. Seluruh masyarakat sangat harmoni. Mereka menerima takdir mereka sebaiknya," katanya.

Namun, menurut Grace, kehangatan jiwa itu bukan milik Himalaya semata. Di Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu, semangat serupa turut terasa. Perkampungan nelayan yang dikelilingi pantai memutih dan lagun membiru ini paling indah bukan kerana landskapnya, tetapi kerana jiwa penghuninya.
“Walaupun baru pertama kali datang, sambutan mereka membuat saya rasa seolah-olah sudah lama dikenali. Ada kemesraan yang benar-benar tulus. Pagi itu saya merakam gambar kanak-kanak ke sekolah, kemudian berbual dengan seorang makcik, disapa mesra pula oleh orang lain, semuanya tanpa rasa janggal,” ujarnya yang juga seorang pengurus besar sebuah syarikat pembinaan.
Bagi Grace, kesederhanaan hidup di Nepal dan Kampung Mangkuk menemukan makna syukur yang sama. Di Kampung Mangkuk, nelayan yang pulang dari laut mungkin hanya membawa hasil sekadar cukup untuk keluarga, namun tetap ringan tangan menghulur kepada jiran atau tetamu.
“Di negara bergunung-ganang itu pula, seorang bapa yang menelusuri jalan kota sambil membawa hasil rezeki masih mampu tersenyum ikhlas, seakan tiada beban di bahunya,” tambahnya.

Sapaan 'selamat datang'
Berbual penuh kegembiraan, beliau berkata jika di Malaysia kita disambut dengan ucapan “selamat datang”, di Nepal pula sapaan mesra “namaste” menjadi bahasa pertamanya. Berbeza kata, berbeza budaya, namun maknanya tetap sama, menerima sesiapa dengan hati terbuka.
“Bagi kedua-dua komuniti ini, kebahagiaan tidak pernah diukur dengan kemewahan. Ia lahir daripada kesederhanaan, melihat anak-anak berlari di gigi air, berkongsi secangkir minuman, atau memberi walaupun sedikit.
"Kanak-kanak di sana riang bermain bola sepak dengan bola kertas, itik melintas jalan menghiburkan mata, sementara golongan tua menerima takdir dengan tenang. Semua itu menjadi memori terindah yang menyingkap persamaan dua dunia berbeza,” luah ibu kepada dua anak itu.

Seorang lagi kurator yang juga jurufoto bebas, Lim Swee Hoe, turut mengakui pengalaman di Nepal sangat membuka mata. Koleksi gambar yang dipamerkan, katanya, adalah cerminan empati, kelembutan dan hubungan kuat sesama manusia.
“Kemesraan yang ditunjukkan sangat menusuk jiwa, menyentuh hati kerana mereka melayani tetamu dengan ikhlas tanpa rasa curiga walaupun kita orang asing. Senyuman dan bantuan tanpa mengharapkan balasan, ia pengalaman yang mahal dan unik,” jelasnya.
Sama ada di kaki Himalaya atau tepian Laut China Selatan, kemurnian hati manusia tetap sama. Ia bertapak tanpa syarat.

Pameran "Nepal Touching Souls" berlangsung dari 9 Ogos hingga 14 September di Galeri Kokopelli, Jalan Templer, Petaling Jaya.
Ia menghimpunkan puluhan koleksi foto yang merakam momen berbeza bersenikan kebaikan dan ketulusan, pasti membuatkan yang melihatnya terpesona serta menginsafi makna kehidupan.