ad

Lelaki hilang seminggu ditemukan maut dekat kereta jatuh gaung

17 Ogos 2025, 12:10 AM
Lelaki hilang seminggu ditemukan maut dekat kereta jatuh gaung

SIBU, 17 OGOS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemukan maut berhampiran sebuah kereta yang terjunam ke dalam gaung di jalan menuju ke Empangan Hidroelektrik Baleh, di Kapit, kira-kira 300 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata mangsa dikenali sebagai Pika Rangga, 54, ditemukan kira-kira 30 meter dari kenderaan berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut dan sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 3.06 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit digerakkan ke lokasi.

“Pasukan operasi tiba pada jam 4.08 petang dan mendapati sebuah Perodua Bezza berada di dalam gaung kira-kira 100 meter dari jalan utama. Mayat mangsa dibawa naik menggunakan pengusung dan sistem tali sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 4.35 petang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.