ad

Pemandu maut, lori tangki meletup semasa kerja kimpalan

16 Ogos 2025, 12:20 PM
Pemandu maut, lori tangki meletup semasa kerja kimpalan

SEREMBAN, 16 OGOS: Seorang pemandu lori maut manakala pembantu bengkel cedera ringan selepas sebuah lori tangki meletup ketika kerja kimpalan di sebuah bengkel Batu 6, Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Penolong Kanan Penguasa Bomba Kanan I Mohd Syazwan Saidy berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.23 tengah hari dan setibanya di lokasi, mangsa berusia 33 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Lori tangki itu berada di bengkel sejak petang semalam untuk dibaiki. Menurut saksi, dua mangsa berada di atas lori bagi membuat kerja pengimpalan sebelum secara tiba-tiba ia meletup menyebabkan mereka melambung setinggi tiga meter.

“Saksi melihat mangsa tidak sedarkan diri akibat cedera parah di kepala. Saksi juga membantu mengangkat pembantu bengkel yang merupakan abangnya ke bilik sementara menunggu bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syazwan berkata Pasukan Khas Hazmat BBP Seremban 2 telah membuat pengesanan di kawasan bengkel serta tempat berlaku letupan dan mendapati bacaan persekitaran kembali normal.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat manakala pembantu bengkel ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini bagi rawatan.

Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.