SHAH ALAM, 16 Ogos: Kerajaan Selangor menambah jumlah insentif kemenangan sebanyak RM2,000 kepada pemenang pingat emas, jika negeri itu merangkul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Majlis Pelancaran Program 'Road To Champion' dan Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat Kontinjen SUKMA Selangor, di sini hari ini.
“Kadar insentif sedia ada untuk atlet meraih emas dikekalkan iaitu RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang). Namun jika Selangor menjadi juara keseluruhan, menjadikan jumlah baharu RM12,000, RM5,000 dan RM7,000.
“Bagaimanapun jumlah ini masih boleh naik (ditambah). Kita ada setahun dari sekarang saya akan ikut dan dapatkan analisa daripada pihak jurulatih, Majlis Sukan Negeri dan sebagainya." katanya.
Mengulas peluang kontinjen Selangor, Amirudin berkata pihaknya yakin negeri ini mampu bergelar juara keseluruhan selepas kali terakhir pada 2016.
"Dengan persiapan rapi serta sokongan moral rakyat Selangor, saya percaya ia boleh menambah sekitar 10 hingga 15 peratus lagi kekuatan pasukan," jelasnya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Abbas Salimi Che Adzmi@Azmi dilantik Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, manakala Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Datuk Johary Anuar sebagai timbalan ketua kontinjen.
Majlis turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan Program Bapa Angkat Kontinjen SUKMA Selangor kepada 29 bapa angkat terdiri ahli dewan negeri (ADN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) dan anak syarikat kerajaan negeri (GLC).
"Setiap bapa angkat akan mengurus satu hingga dua pasukan. Dengan sokongan mereka, pasukan kita akan lebih bersedia menjelang kejohanan," kata Amirudin.
Program Bapa Angkat yang diperkenal pada tahun 2015 terbukti menjadi model sokongan berkesan dalam memantapkan persediaan atlet dengan bantuan moral, logistik dan kewangan.